Kota Tinggi: “Setiap kali angin kencang atau ribut melanda, saya takut atap zink serta dinding rumah menghempap kami sekeluarga,” kata orang kelainan upaya (OKU) Fadhillah Mohd Ali, 45, ketika ditemui di kediamannya di FELDA Sungai Sibol di sini, semalam.
Menurut Fadhillah, ketakutannya bertambah jika angin kencang atau ribut melanda ketika ketiadaan suami, Ramlan Hassan, 46, dan anak, Puteri Raihanah, enam tahun, di rumah memandangkan pergerakannya terhad kerana kedua matanya kabur.
“Jika ribut atau angin kencang melanda, jiran yang saya anggap sebagai ibu angkat menjerit menyuruh saya menyelamatkan diri.
“Jika Puteri Raihanah ada di rumah, jiran datang membawa dia serta saya ke rumahnya untuk berteduh buat sementara,” katanya.
“Jika Puteri Raihanah ada di rumah, jiran datang membawa dia serta saya ke rumahnya untuk berteduh buat sementara,” katanya.
Ramlan bertugas sebagai mandur untuk kerja mencari serta memotong kayu dengan pendapatan RM750 sebulan manakala Fadhillah menerima bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta RM300 sebulan daripada Baitulmal.
Menurut Fadhillah, akibat kedaifan hidup, mereka sekeluarga sering dicerca menyebabkan Puteri Raihanah kerap menangis dan memencilkan diri.
Katanya, anaknya itu menangis apabila menceritakan perihal rakannya yang mengejek rumah mereka buruk.
“Ada yang membaling batu ke rumah kami menjadikan kami semakin sedih. Sejak setahun lalu, Puteri Raihanah hanya berkurung di dalam rumah selepas pulang dari sekolah dan tidak keluar bermain dengan rakannya.
“Jika Puteri Raihanah tahu angin kencang atau ribut melanda, dia enggan masuk ke dalam rumah walaupun puas dipujuk,” katanya.
Menurut Fadhillah, dia dan suami pernah memohon bantuan daripada pihak berkaitan untuk membaiki rumah mereka namun statusnya masih samar walaupun dimaklumkan permohonan sudah diluluskan pada tahun lalu.
“Saya dan suami pernah memohon untuk bantuan pinjaman membaiki rumah dan diberitahu permohonan sudah lulus, tetapi sehingga sekarang masih tiada perkembangan,” katanya.
“Ada pemimpin datang ke sini untuk meninjau keadaan rumah selepas ribut melanda kampung kami namun hanya zink yang diterbangkan ribut saja diganti baru,” katanya.
Fadhillah turut mengemukakan surat peringatan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik ke rumah itu yang tertunggak lebih RM800.
Selain cacat fizikal sejak lahir, dia juga menghidap darah tinggi manakala kedua-dua matanya sudah kabur dan doktor menasihatinya supaya melakukan pembedahan membuang selaput mata, namun tiada wang.
“Perbelanjaan perubatan saya RM200 sebulan tidak termasuk ubat untuk penyakit asma anak,” katanya.
Menurut Fadhillah, ketika tidak bekerja, suaminya mencari barangan terbuang seperti tin minuman selain menjual pisang nipah serta kelapa tua yang ditanam di belakang rumah untuk menampung pendapatan keluarga.
Sementara itu, derita tiga beranak berkenaan mendapat perhatian pasar raya Econsave yang bermurah hati menyumbang baucar barangan keperluan harian bernilai RM1,000.
Pengurus Operasi Econsave Bahagian Selatan Mas Imran Ahmad berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa pasangan berkenaan selain sudi memberi peluang pekerjaan kepada Ramlan jika berminat.
Sumber SINI